KENAPA???????
Jangan salahkan Barat jika remaja kita terjebak ke dalam kancah kesesatan.
Jangan salahkan Barat jika akhirnya negara tergadai.
Jangan salahkan Barat jika adat kesantunan dan budaya Timur akhirnya terhakis daripada diri seorang Timur.
Kenapa tidak? Kenapa? Kerana kesalahan tersebut adalah kesalahan bangsa kita sendiri.
Resam orang kita, jika berada di dalam keadaan tersepit dan terhimpit, pasti akan dicari ‘scape goat’ atau orang yang boleh dipersalahkan. Kenapa itu dijadikan resam? Kenapa susah bagi kita mengakui kesalahan kita sendiri? Cerdik pandai pernah berkata, “orang pandai belajar daripada kesilapan dan tidak ada siapa boleh menyangkal bahawa kesilapan adalah salah satu rencah kejayaan”. Kenapa susah sangat kita belajar daripada kesalahan?
Kita juga selalu sangat memandang apa yang datang dari dunia Barat adalah sesuatu yang negatif semata-mata. Walaupun hakikatnya adalah tidak semua yang datang daripada ‘sana’ adalah ‘busuk’. Lihat sahaja kita sekarang. Mana datangnya teknologi jika bukan majoritinya datang dari sana? Sedar ataupun buat-buat tidak sedar, hidup kita sekarang terlalu bergantung dengan teknologi mereka. Mencipta teknologi sendiri.........(satu persoalan yang besar!)
Jika ditinjau daripada jendela sejarah, banyak kebaikan yang dibawa oleh Barat yang boleh diikuti dan dicontohi. Lihat sahaja kejayaan saintis mereka di dalam bidang penciptaan dan penerokaan. Nama-nama seperti Thomas Eddison, Neil Armstrong, Alexander Graham Bell, Wrights bersaudara, Stephen Hawking dan ramai lagi adalah nama-nama gah di dalam sejarah dunia.
Dimana letaknya nama seorang Melayu? Adalah tertinggal dari catatan atau sememangnya nama seorang Melayu tidak ada di dalam lipatan sejarah yang boleh dibanggakan? Mungkin ada. Tetapi....
Melayu senantiasa berbangga dengan kejayaan dan kegemilangan silam yang ditempah oleh ilmuan dan cerdik pandai Islam seperti al Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Khawarizmi, al-Kindi dan lain-lain atas tiket agama yang sama iaitu Islam. Memang tidak dapat disangkal, keagungan dan ketinggian ilmu para ilmuan Islam lebih hebat dan tinggi daripada ilmuan yang dilahirkan Barat tetapi ilmu dan kehebatan mereka hanya dipuja dan dipuji tidak lebih daripada itu.
Ilmu yang mereka hasilkan tidak dikaji dan diperbaharui oleh orang Melayu mahupun orang Islam sendiri. lain pula halnya dengan dunia Barat yang nampaknya lebih menghargai hasil kebijaksanaan ilmuan Islam tersebut dengan pelbagai usaha mereka dalam mengkaji dan mempelajari ilmu tersebut.
Barat juga tidak kenal erti putus asa atau jemu dalam mempelajari ilmu Islam yang dibawa oleh cerdik pandai Islam. Usaha mereka tidak berhenti setakat itu sahaja malahan mereka juga mengkaji dan mendalami ilmu yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah rasulullah s.a.w.
Kenapa?
Jawapannya adalah mudah. Semuanya adalah kerana Melayu dan umat Islam jagat yang lain terlalu malas dan terlalu mudah berpuas hati dengan kejayaan tersebut. Mereka langsung tiada inisiatif untuk mempraktikkan dan mengkaji ilmu tersebut untuk kegunaan mereka kelak.
Melayu mudah dipergunakan dan diperkotak-katikkan selain daripada sifat mudah melentingnya. Jangan marah dengan penyataan ini kerana ia adalah satu kenyataan yang walaupun pahit tetapi adalah kebenaran yang mutlak.
Walaupun Melayu sendiri mengakuinya, tetapi kenapa perkara ini berulang? Kenapa?
Malas adalah jawapannya. Mudah berpuas hati juga adalah jawapannya. Kenapa besar sangat sifat malas ini di dalam jiwa orang Melayu? Bagaimana kita, sebagai Melayu mengubah sifat ‘kemelayuan’ tersebut? Mungkinkah Melayu tidak lagi sedar daripada lena yang panjang?
No comments:
Post a Comment